Beriadah yang dilakukan secara berkala adalah baik dan dapat menyihatkan badan. Kementerian Kesihatan juga turut mengadakan kempen gaya hidup sihat yang turut menekankan kepentingan aktiviti riadah. Joging contohnya, dapat membantu melancarkan peredaran darah dalam badan seseorang. Selain itu, ia juga mempercepatkan proses metabolisme dan dapat mengurangkan berat badan. Jadi, penyakit seperti darah tinggi dan lemah jantung dapat dielakkan.
Aktiviti riadah seperti berkelah, berkhemah dan mendaki bukit, jika dilakukan bersama keluarga dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan. Nilai-nilai murni dapat dipupuk di kalangan anggota keluarga. Semangat tolong-menolong dan kerjasama akan menambah keseronokan sesebuah keluarga ketika beriadah. Seterusnya, ia akan melahirkan sebuah keluarga yang harmoni dan saling memahami antara satu sama lain.
Akhir sekali, dengan menyertai aktiviti riadah kita juga dapat menambahkan kenalan yang terdiri daripada pelbagai kaum. Secara tidak langsung, aktiviti riadah juga mengeratkan hubungan antara kaum. Sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum dan agama, perpaduan kaum amat penting. Dengan wujudnya perpaduan kaum yang erat, negara akan aman dan rakyat dapat hidup dengan baik.
No comments:
Post a Comment